Seorang rakan bercerita mengenai sikap ambil berat seseorang (yang saya namakan sebagai A) dan betapa bertuahnya isterinya mendapat suami yang mengambil berat seperti A. Ia berdasarkan sikap perihatin yang pernah A tunjukkan pada rakan saya ini dan seorang lagi rakan. Bukan hendak saya katakan pandangan rakan saya salah tetapi saya kurang bersetuju dengan cara rakan menilai sikap ambil berat seorang lelaki berdasarkan layanannya pada seorang perempuan yang bukan ibu, adik-beradik, isteri atau anak-anaknya.
Pendapat peribadi saya, jika hendak menilai kebaikan seorang lelaki lihatlah cara mereka:
1) melayan ibu bapa dan adik beradiknya jika dia belum berkahwin
2) melayan ibu bapa dan adik beradiknya serta isteri dan anak-anaknya jika dia sudah berkahwin
Kesilapan ini yang menyebabkan seorang wanita boleh jatuh cinta dengan suami orang atau kecewa setelah berkahwin kerana menilai layanan yang diberikan oleh lelaki kepada dirinya ketika belum mempunyai sebarang pertalian.
Saya pernah melakukan perkara yang sama (silap menilai seorang lelaki tetapi bukan sebagai pasangan hidup). Melihat seorang lelaki (saya namakan sebagai C) yang dikurniakan isteri yang cantik bergaya dan anak-anak yang comel, saya sebagai seorang yang pernah bekerja bersama, kagum dengan cara dia melayan staf bawahannya. Hati kecil berkata, 'Bertuah B mendapat suami seperti C dan saya yakin B sangat sayang isterinya dan menatangnya bagai minyak yang penuh'.
Rupa-rupanya saya silap, si isteri yang baik hidup berendam air mata.
Amat pelik juga di mata saya jika seorang lelaki merajuk sehingga tidak membalas sms atau menjawab panggilan kerana ia adalah kebiasaan yang biasa dilakukan oleh perempuan seperti ehem.. ehem.. saya. :p Sebagai perempuan, walaupun merajuk, perlu tahu had berapa lama kita boleh merajuk. Lelaki yang merajuk seperti perempuan dan lebih dari perempuan seolah-olah mempunyai akal tidak sampai satu akal sedangkan lelaki sepatutnya mempunyai 9 akal.
Lelaki yang menjatuhkan airmuka seorang perempuan juga adalah lelaki yang tidak matang dan dikawal oleh nafsu yang satu.
Saya pernah juga melihat seorang lelaki yang sangat mengambil berat rakan sejawatan, tetapi membiarkan si isteri kelam kabut membuat kerja rumah semasa dalam pantang.
Ini merupakan pandangan peribadi saya dan mungkin pemerhatian saya silap.